Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 4

Sudahkah seseorang mempunyai suatu pegangan untuk bekal hidup, yang mana dengannya dapat mendatangkan kebahagiaan pada badan dirinya sendiri? Dan sudahkah diperolehnya bahagia yang telah diperdapatnya itu zahir dan batin? Betapa banyaknya kita melihat orang-orang yang kita anggap bahagia, akan tetapi sebenarnya menderita kerana bahagia yang diperdapatnya baru bahagia kulit atau bahagia zahir, sebab diperdapatnya dengan menurutkan hawa nafsunya. Dan dalam beramal, maka amalan seperti itu termasuk dalam golongan amalan yang bersertakan hawa nafsu, dan itu bahagia tidak kekal, akan hancur atau habis kerana merupakan benda atau material.

Dan bagi yang belum punya pegangan, carilah suatu pegangan yang benar lagi betul sampai bisa dipertanggungjawabkan dunia dan akhirat. Dan bagi yang selalu dalam keragu-raguan, hilangkanlah keragu-raguan itu dengan kembali, kerana di dalam diri sendiri itulah letaknya apa yang engkau cari. Dan bagi semua insan yang menderita, yang kecewa, yang berasa ketinggalan, yang berasa kekurangan, aku anjurkan janganlah lekas berputus asa. Jangan terus begitu saja menyerah pada takdir. Dengan tidak memandang umur tua atau muda, bersekolah atau tidak, terpelajar atau tidak, miskin atau kaya, cacat atau tidak, selagi kehidupan masih berjalan di dalam batang tubuhmu, masih ada jalan memperbaiki sesuatu keadaan. Masih ada jalan untuk mencapai bahagia sejati. Masih ada jalan untuk dapat merasakan nikmat hidup dan lain-lain sebagainya.

Kesemuanya itu bisa terjadi kalau engkau kehendaki dan mahu mencari dan mempelajarinya, kerana bukankah Allah tidak akan merubah nasib seseorang kalau tidak orang itu sendiri berusaha untuk merubahnya? Engkau berasa berdosa? Bukankah Tuhan itu Maha Pengampun? Mohonlah keampunan pada-Nya. Bukankah Dia Maha Pemurah lagi Maha Pengasih? Aku mengatakan, segala ketidaksenangan yang engkau alami, letak kesalahannya bukan pada orang lain (bukan pada di luar dari badan dirimu), malahan padamu sendiri lantaran kebodohanmu. Engkau belum mempunyai yang betul untuk pegangan hidup; suatu pendirian hidup yang tidak berurat tunjang (berakar), yang mana sewaktu-waktu bila angin besar datang, batangnya bisa goyang, dahan dan rantingnya bisa patah atau ibarat bahtera, hidupmu di tengah lautan, jangankan oleh gelombang besar, oleh alun kecil saja perahumu sudah oleng atau mungkin tenggelam.

Engkau harus mempunyai suatu pegangan yang benar lagi betul dan itu adalah tempatnya di dalam dirimu sendiri, bukan dari luar badan dirimu. Dari itu engkau harus dapat mengenal dirimu sendiri lebih mendalam, sanggup memecahkan akan rahsia yang terkandung padanya, dan dengan telah terpecahkan akan rahsia itu, engkau akan dapat mengetahui apa yang dinamakan ‘hidup’, bahkan engkau akan dapat mengetahui itu selok-belok kehidupan di dalam dan di luar badan dirimu sendiri sehingga engkau akan pandai membawakan hidup dan kehidupan dalam erti yang sebenar-benarnya. Aku dapat mengatakan bahawa jalan kehidupan yang sebenarnya itu adalah semenjak di dalam diri sendiri, kerana bukankah kehidupan itu berjalan sejak dari dalam badan diri sendiri? Dari itu berusahalah memecahkan soal kehidupan sendiri yang berpokok pangkal dari dalam badan diri. Pecahkanlah akan rahsianya dan usahakanlah menemui itu jalan yang sebenarnya jalan, yang hanya dapat dirasakan bagi seseorang yang telah dapat menemuinya.

Dan itulah dia hidup yang akan dipakai, mati yang akan di tumpang, yang siang akan dipertongkat dan malam akan dipekalang hulu. Sebelum seseorang dapat menemuinya dan menjadikannya menjadi pegangan yang betul, maka perjalanan di dalam tetap seperti kata pepatah, ‘Perjalanan seperti menghasta kain sarung; sampai di situ ke di situ juga.’

Aku yang telah dapat menemui jalan yang dimaksudkan dan yang telah berjalan pada jalannya dan telah berpengalaman dengannya bertahun-tahun lamanya, dapat mengatakan bahawa adalah jalannya itu jalan lurus lagi benar, jalan yang berpetunjuk, jalan yang berisi yang tidak dimurkai dan tiada pula sesat. Lagi pula, banyak mengandung rahsia. Pengalaman juga yang menunjukkan padaku semenjak aku menemuinya dan berjalan bersertanya, berjalan pada jalannya, selain banyak keanehan-keanehan yang kualami, juga penilaian dan pandangan orang padaku yang kadang-kadang berlebih-lebihan atau ada keistimewaannya yang mana mendatangkan ingatan padaku akan mukjizat-mukjizat yang telah dianugerahkan Tuhan terhadap beberapa orang-orang tertentu. Ingatlah akan sabda Tuhan, “Hanya orang-orang yang dikehendaki-Nya yang akan sampai ke Sana atau ke Hadirat-Nya atau kepada Cahaya-Nya itu.”

Terlepas dari pandangan mistik atau segi negatif, maka aku sengaja memecahkan rahsia diri ini secara ilmiah sampai di tingkat mana aku dapat mengupasnya, semoga dapat difahami dan dimengerti dan terutama dapat dirasakan, kerana memang di rasa itulah letak rahsianya. Suatu rasa yang terasa dengan bawaannya gerak yang bergerak dengan sendirinya menurut aliran-aliran yang dapat dirasakan pula, suatu gerak dan pergerakan, ilmiahnya dinamakan gerak di bidang metafizika atau ada juga yang dinamakan Ilmu Latifah. Aku yang tadinya tak mengerti akan selok-beloknya kehidupan di dalam badan diriku sendiri, semenjak aku telah dapat mengenal dan menemuinya, maka banyaklah pelajaran-pelajaran yang aku perdapat daripadanya. Aku telah mengenal itu hidup yang sebenarnya, kehidupan yang sedang berjalan, menjalankan dan mengisi kehidupan yang kenyataannya suatu perbuatan menghidupkan dan al-hasil menghasilkan yang dihidupkan. Dan begitulah aku dan besar kemungkinan banyak orang lain selama ini, sebelum dapat mengenalkannya, berpegang kapada yang dihidupkan. Dan adalah tiap-tiap yang dihidupkan tidak kekal, mesti mati. Dan sebagai seseorang yang dihidupkan, aku harus menjalankan kehidupanku pula pada dunia kebendaan ini untuk memenuhi keperluan-keperluan apa yang ada padaku yang berkehendak pada makan dan minum, pembersihan, pakaian dan lain-lain sebagainya, menjelang akhir dari kehidupanku sebagai seorang manusia yang mana apa yang dinamakan kematian itu, tiap-tiap diri tak dapat tahuinya pada sebelumnya, tentang waktunya, umpama harinya; siang atau malam, pagi atau sore (petang) dan jamnya.

Bila dia datang pun tiap-tiap diri tak dapat mengelakkannya, walau ke mana bersembunyi dan telah menjadi kenyataan pula bahawa tiap-tiap yang dihidupkan mesti mati atau tiap-tiap yang bernyawa mesti mati. Bagi seseorang yang telah dapat memahami erti hidup dan kehidupan di dalam badan dirinya sendiri, sebenarnya tak perlu takut menghadapai kematian kerana bagi tiap-tiap diri, bagi tiap￾tiap manusia, soal mati dan kematian adalah soal biasa. Dan bagiku sendiri apa yang dinamakan mati bagi seseorang manusia, adalah suatu perpindahan dari suatu alam ke alam yang lain, suatu pemulangan kembali ke asalnya, kerana pendirianku adalah ‘Aku’; ‘Aku’ yang akan kembali ke Hadirat-Nya dengan dijemput dan bukan yang akan dihantar kembali ke asalnya iaitu ke tanah. Mati bagi manusia ialah suatu pelepasan dari ikatan-ikatan jasad, disusul dengan ibarat bagi lampu; lampu padam oleh kerana kehabisan minyak.

<< Sebelumnya - Bab Tiga

Seterusnya - Bab Lima >>

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Allah Sebagai Rakan Kongsi Perniagaan