Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 8

Aku berjalan dan berjalan terus, mengembara dan mengembara terus, lahir dan batin, melakukan sesuatu untuk sesuatu dengan sesuatu. Aku mengamalkan Dua Kalimah Syahadah. Perjalananku berdasarkan Dua Kalimah Syahadah. Aku berjalan dengan Dua Kalimah Syahadah dan jalanku jalan Dua Kalimah Syahadah dengan makna dan tujuan mengadakan pengakuan untuk mendapat pengakuan: Pengakuan akan tiada Tuhan yang lain melainkan Allah dan pengakuan akan Muhammad Rasulullah. Kerana bukankah di antara hikmah yang terkandung dalam Dua Kalimah Syahadah itu ‘Kesaksian, Pengakuan, Pangkat dan Martabat’? Suatu pangkat kerasulan bagi manusia Muhammad dan martabat yang tinggi di sisi Tuhan terhadapnya. Bukankah manusia Muhammad yang membawa dan menyatakan Dua Kalimah Syahadah ke dalam dunia ini? Maka aku akan mengatakan, “Adakanlah pengakuan untuk mendapat pengakuan.” Siapa yang mengadakan pengakuan, kepada siapa pengakuan diadakan dan dari siapa pengakuan diperdapat?

Aku berjalan mengadakan pengakuan, berjalan pada jalan yang kutemui iaitu lahir dan batin (rohaniah dan jasmaniah), bertitik-tolak dari ada ke tidak ada, melalui tiada (antara ada dan tidak ada) atau dari alam nyata (kebendaan) menuju ke tidak ada yang ada kecuali Dia, melalui alam spirituil (kerohanian) atau dari syariat menuju ke makrifat melalui hakikat; suatu perjalanan yang kunamakan ‘perjalanan balik batang’ atau kembali pulang ke Hadirat-Nya. Dan di Sana, di Hadirat-Nya, di tempat yang tidak ada, dan di saat itu aku sudah tidak ada pula dengan tidak bergeser sedikit jua pun, aku sedarkan diriku sesedar-sedarnya (lahir dan batin dan kembali keadaanku sebagai seorang manusia biasa), aku adakanlah pengakuan dan kesaksian dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah berulang-ulang tiga kali. Dan berjalan cara begini, kulakukan berulang kali pula sampai aku yakin seyakin-yakinnya, bahawa betul-betul aku berada di Hadirat-Nya. Dengan huraianku ini, maka nyatalah bahawa yang mengadakan pengakuan adalah aku lahir-batin dan pengakuanku ialah terhadap Tuhan tiada yang lain daripada-Nya melainkan Allah dan terhadap Muhammad Rasul Allah. Dan dari siapa pengakuan yang akan kuperdapat?

Keinginanku ialah pengakuan sebagai seorang hamba Allah dengan tugas yang kulakukan dan menjalankan kehidupan sebagai umat Muhammad. Aku tak akan mendakwakan diriku sebagai seorang nabi kerana tidak ada lagi nabi sesudah Nabi Muhammad dan aku tak akan menantikan pula seolah-olah Tuhan akan menyuruh malaikat Jibrail menyampaikan pengakuan itu padaku. Tidak! Melainkan yang aku nantikan ialah tanda seperti pengakuan dari orang ramai, dari orang berilmu, dari cerdik pandai, pengakuan akan benarnya ilmu yang kuamalkan sehingga ada yang mendatangiku untuk mengambil manfaat daripadanya, ada yang mendatangiku untuk menguji akan kebenarannya dan tak kurang pula mendatangiku untuk menerima aliran langsung dariku untuk diamalkannya pula. Sebagai seorang hamba Allah, Aku akan melakukan tugasku di mana saja Aku berada dan sebagai umat Muhammad, Aku akan menjalankan kehidupanku sebagai seorang Islam pada kenyataannya. Dan Aku akan tetap bergerak di bidang Rahsia-Nya, dan terhadap orang di luar dari badan diriku sendiri, Aku akan merahsiakan diriku pula. Biarlah mereka itu sendiri yang akan memecahkan rahsia Aku nanti jika Tuhan mengizinkan.

Kedudukanku terahsia dan orang-orang yang mahu mengenal Aku, harus menemuiku, di tempatku. Kalau tidak, pasti orang tak dapat mengenal Aku yang sebenarnya. Pelajaran yang kuperdapat dari perjalanan pengembaraanku dari ada kepada tidak ada, ialah aku telah dapat membebaskan diriku dari ikatan-ikatan kebendaan (kenyataan). Aku telah dapat membawakan diriku terlepas dari hawa nafsu. Dari segi lain dapat pula aku mengatakan bahawa perjalananku itu dari ada ke tidak ada atau nyata kepada di balik kenyataan, bererti pula aku telah memasuki alam tasawuf, alam kebatinan sehingga kudapat pula mengetahui dan menemui batinku sendiri, yang dapat aku merasakan perbezaannya dari zahirku sendiri. Aku telah dapat merasakan pemisahan antara zahirku dengan batinku, antara kenyataanku dengan di balik kenyataanku, antara badan kasarku dengan badan halusku, antara jasmaniku dengan rohaniku. Dengan pernyataanku ini, bererti pula bagiku rahsia diriku sendiri telah pecah, suatu pemecahan yang menghasilkan pemisahan sehingga aku dapat pula mengatakan bahawa antara yang satu dengan yang lain, ‘jauh tak berantara dan dekat tak berbatas.’ Dan dengan demikian, terbuka pulalah bagiku jalan untuk menyelidiki sendiri akan keadaan batinku: Terdiri dari apa dia, dan bagaimana dia? Aku telah menemui dan mengenal akan diriku sendiri dengan rahsia yang terkandung padanya (telah mengetahui siapa dan yang mana aku yang sebenarnya) sehingga pendirianku ialah aku adalah orangnya yang akan kembali ke Hadirat Illahi, dan bukan yang akan dikembalikan ke asalnya iaitu ke tanah.

Ya, Memang dari Tuhan datangku dan kepada-Nya aku akan pulang kembali dengan dijemput dan adalah peganganku yang hidup, bukan yang mati. Jalanku ialah jalan kehidupan, menghidupkan yang mati dan menghasilkan yang dihidupkan. Tiap-tiap yang dihidupkan mesti mati dan aku tak akan mati-mati, melainkan berpindah (tukar tempat atau kedudukan). Di manakah letaknya rahsia hidup dan kehidupan bagi seseorang? Letaknya ialah di dalam diri sendiri masing-masing. Bukan di luar. Ketahuilah bahawa di dalam badan diri sendiri berada aliran kehidupan yang bertujuan menghidupkan badan diri. Suatu aliran yang berisi (mengisi jalannya kehidupan di dalam) yang perjalanannya di dalam ibarat ‘menghasta kain sarung’; sampai di situ ke di situ juga. Dan untuk dapat mengenal dan mengetahui itu hakikat hidup yang sebenarnya, seseorang hendaklah dapat memecahkan itu rahsia hidup sehingga dapat dia menemui jalannya kehidupan tadi serta menurutkannya. Berjalan pada jalannya sambil untuk mempelajarinya.Aku teringat akan kisah perjalanan Nabi Musa mencari Nabi Allah Khidir, yang dengan pertunjuk Tuhan tempatnya di pertemuan permukaan dua laut (Surat al-Kahfi, Ayat 60 hingga 82), untuk belajar padanya tentang ilmu pengetahuan yang belum dipunyainya. Maka aku dapat pula mengatakan bahawa aku telah dapat pula menemuinya di pertemuan kiri dan kanan.

<< Sebelumnya - Bab Tujuh
Seterusnya - Bab Sembilan >>



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Makna Cahaya Dan Maksud Ingat Diri