Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 13

Sejak aku telah dapat menemui, mengetahui dan mengenal diriku dengan rahsia yang terkandung padanya, maka aku sesuaikan segala-galanya menurut keadaannya dan keadaanku berlahir dan berbatin. Dudukku duduk menanti, menanti akan kedatangan sesuatu yang lahir dan yang batin, menampungnya dan mendudukkannya pula pada tempatnya. Aku, yang tadinya perjalananku terbatas di dalam alamku sendiri, semenjak aku telah menemuinya, telah dapat bergerak lebih luas dan bebas di luar dari alamku sendiri kerana dengan dapat menemuiku di tempatku, bererti dia telah menemui pintu untuk masuk rumahku dan dengan sendirinya telah terbuka pula jalan bagiku untuk keluar. Pintu telah terbuka, dinding telah tembus, hijab telah terbuka.

Setelah rahsiaku dapat dipecahkannya, apalagi setelah dia dapat mengenal Aku yang sebenarnya, maka diketahuinyalah bahawa diriku adalah dirinya pula, badanku adalah badannya pula. Hanya tentang Aku ada berlainan pendirian dan tanggapan.Keakuannya [dan] keakuanku tidak sama. Dia berdiri pada kenyataannya, sedangkan Aku pada di balik kenyataanku. Pandangan hidupnya berlainan dengan pandangan hidupku. Titik tolak kehidupannya dari yang ada dengan tidak mengetahui akan keadaannya yang sebenarnya, sedangkan titik tolak kehidupanku dari tidak ada menuju kepada yang ada dan mengisi keadaannya untuk menjamin lancarnya jalan kehidupan di luar. Jadi adalah jalan kehidupanku dimulai dari dalam. Jalanku hidup. Kerjaku menghidupkan dan menghasilkan. Dia yang dihidupkan. Dia mempunyai banyak keinginan dan kemahuan, tetapi tak banyak punya kemampuan dan kesanggupan. Aku kekasih dari Yang Maha Pengasih, datang daripada-Nya, sedangkan dia anak dari ibu-bapanya yang asal kejadian daripada tanah dan akan dikembalikan ke tanah.

Setelahnya dia dapat mengenal Aku yang sebenarnya dan setelahnya dapat diketahuinya bahawa adalah badan dirinya itu badan diriku pula, sekarang dia sendiri yang akan menentukan kedudukannya. Aku akan berkata padanya, setelahnya dia dapat banyak mengetahui akan rahsiaku, “Apa engkau akan bersertaku, atau apa Aku akan jadi engkau?” Kalau engkau berserta Aku, maka adalah Aku ini ilmu bagimu. Dan untuk ini harus mengerti betul padaku dan belajar padaku. Oleh kerana Aku tidak nyata dan kenyataanku ada padamu, maka adalah ilmumu ini namanya Ilmu Ghaib. Engkau akan berbuat dan berlaku dengan yang ghaib dan dengan tenaga ghaib. Untuk ini aku ingatkan kembali akan kisah perjalanan Nabi Musa mancari Nabi Khidir untuk belajar ilmu yang ada padanya dan caranya Nabi Khidir mempraktikkan ilmunya itu. Dalam praktiknya, Nabi Khidir yang berbuat dan Nabi Musa hanya ikut berjalan bersertanya. Dengannya engkau akan menjadi seorang yang dalam dan tinggi ilmunya, yang mana siapa saja tak dapat mengukurnya. Dan usahakanlah supaya engkau selalu bersertanya. Akan tetapi kalau Aku yang jadi engkau, yang Aku kehendaki darimu ialah suatu penyerahan (pasrah ) – Lillahi Rabbul-alamin- padaku iaitu serahkanlah apa yang ada padamu padaku sehingga keakuanmu menjadi keakuanku; sehingga Aku dapat pula mengetahui dan mengenal akan keadaanmu sampai apa yang ada padamu itu menjadi kepunyaanku – penyerahan yang bulat darimu padaku. Dan perpaduan antara keakuanmu dengan keakuanku mendatangkan pertunjuk padaku bahawa adalah engkau belahan dari badan diriku sendiri. Yang kualiri dan isi selama ini rupanya bukanlah orang lain, melainkan belahan dari badan diriku sendiri.

Hanya kita juga yang belum kenal-mengenal satu sama lain selama ini. Engkau yang banyak punya keinginan, sekarang telah bersepadu dengan Aku yang mempunyai daya kesanggupan. Engkau itu adalah Aku dan Aku adalah engkau. Dengan saling terjadinya saling kenal-mengenal satu sama lain, dengan terjadinya persatu-paduan antara kita berdua, marilah kita mula memasuki kehidupan baru; ke lurah sama menurun, ke bukit sama mendaki, seiring sejalan, sakit dan senang sama-sama dirasai. Kelebihan kita satu sama lain berbeza. Kelebihanmu pada kenyataan dan kelebihanku pada perasaan. Apa yang tak ada padaku ada padamu dan apa yang tak ada padamu ada padaku. Aku buta pada kenyataan dan engkau ada mata untuk melihat, akan tetapi padaku ada jalan untuk pencapai tujuan. Jadikanlah jalanku itu menjadi jalanmu dan jadi jalan kita bersama, engkau dan Aku. Dan dalam segala tindak-tanduk, Aku di muka atau kemukakan Aku. Engkau di luar Aku di dalam. Kenyataanku ada padamu dan padakulah letaknya rahsiamu. Akulah ilmumu; ilmu aku-mengakui sampai mendapat pengakuan. Teringat aku akan cerita seorang tua yang aku jumpai dalam perjalanan pengembaraanku, iaitu tentang memecahkan  kisah rahsia sebuah rumah yang tersebut dalam pepatah orang-orang tua dahulu, iaitu ‘Rumah nampak jalan tak tentu.’ Adakah pernah seseorang merenung dan memikirkan nikmat apa yang terkandung pada rumah itu? Kata yang empunya cerita:

Dahulukala ada seorang Maharaja Diraja mempunyai anak tunggal, betul lagi bertuah. Setelah anak tersebut meningkat dewasa, terfikirlah oleh raja tersebut, “Siapa kiranya akan teman hidupnya anak yang dikasihinya itu? Cinta kasih sayang tercurah dan tertumpah pada anak seorang itu dan dia tak mahu anak tersebut mendapat teman hidup sembarangan orang sahaja. Fikir punya fikir, maka disuruh dirikanlah sebuah rumah yang rupa dan bentuknya menurut ciptaannya sendiri. Setelah rumah itu siap, maka didudukkannyalah anaknya itu di dalam rumah yang sudah siap itu, lengkap dengan peralatan dan perabut rumahtangga yang sederhana. Anak tersebut ditempatkan di bilik dalam lagi di dalam dengan kata-kata amanah padanya, iaitu,
“Di sini engkau didudukkan. Haus minum, lapar makan, mengantuk tidur. Untuk itu semuanya telahdisiapkan. Tugasmu ialah satu antara dua:
Pertama; menunggu yang punya datang menjemput.
Kedua; menantikan kedatangan seseorang yang sanggup memasuki rumahmu dan dapat menemuimu di tempatmu. Itulah teman hidupmu yang sejati dan serahkanlah apa yang ada padamu padanya.”

Dan begitulah ibarat burung dalam sangkar; banyak dilihat dan diketahuinya burung-burung berterbangan sekelilingnya, akan tetapi tidak seekorpun yang menuju kepadanya. Dicubanya memanggil dengan bunyinya, walaupun didengarnya ada yang menyahut atau membalas bunyinya itu, akan tetapi yang dinantikannya tak juga kunjung datang. Dan begitulah keadaannya selalu; senantiasa menunggu dan menanti. Kiranya akan beruntunglah seseorang bila dapat mengenal dan menemuinya, apalagi kalau telah diketahuinya betul akan rahsianya, diketahuinya pula bahawa dia adalah teman hidupnya yang sejati dan belahan diri pula daripadanya. Dia akan sangat beruntung setelah dapat mengenal Aku dan Aku pun beruntung pula dapat mengetahui akan keadaannya sendiri.

Kenal-mengenal satu sama lain membukakan tabir rahsia antara Aku dan dia, dan ketahuilah sekarang bahawa seluruh kehidupannya bergantung padaku. Betapa tidak? Kalau Aku tak ada padanya, maka bukanlah dia manusia hidup namanya. Begitu pula dia bagimu, kalau dia tidak ada bersertaku, maka tak adalah ertinya dunia ini bagiku. Dan sekarang kami telah menjadi satu; Aku dan dia, lahir dan batin. Tadinya kami memang satu juga, akan tetapi caranya lain, Aku tinggal Aku dan dia tinggal dia, tidak ada kenal-mengenal satu sama lain. Pengetahuannya tentang Aku hanya terbatas, iaitu pada nama saja dan bagaimana hakikatnya Aku yang sebenarnya tak pernah diketahuinya, apalagi ditemuinya.

Sekarang diketahuinya sudah bahawa adalah dia itu Aku dan Aku adalah dia. Di dalam kami berpisah, akan tetapi terhadap kepada yang di luar dari badan diri kami, kami satu dan kami panggilkan diri kami untuk keseluruhannya aku. Dari segi lain dapat pula Aku mengatakan, Aku telah lahir untuk kedua kalinya. Kelahiran dan kehadiranku yang pertama kali di dunia ini ialah keluarnya Aku dari rahim ibuku dan kelahiran (dan kehadiranku) untuk kedua kalinya ialah dengan jalan memancar. Sebaiknya tiap-tiap diri, sebelum meninggal harus lahir untuk kedua kalinya di dunia nyata ini. Aku berani berkata begitu setelah dapat mengetahui dan berpengalaman dalam hal ini, terutama di bidang lahir-melahirkan kerana bagi mereka yang menerima aliranku, akulah doktornya; mendidiknya sampai bisa berjalan dan berdiri sendiri.

Aku memasuki rumahnya melalui pintu tertentu. Aku bukakan pintu baginya untuk keluar. Aku bawa dia berjalan dan aku tunjukkannya jalan yang benar. Aku memasuki rumahnya dengan seizinnya, bukan dengan jalan paksaan. Adalah diri tiap-tiap seseorang umpama terkurung dalam sebuah rumah; pintu untuk keluar baginya tertutup. Dicuba sendiri tak sanggup menembusnya, sedangkan ‘Anak Kunci’ di tangan orang lain. Keadaan tak ubahnya seperti apa yang tercantum dalam serangkaian pantun dalam bahasa daerah:

Ikan takile’ jalo tibo
Kanai anak maco balah lidah
Ba’a dek kumbang ka malariknyo
Lah kambang bungo dalam sarugo
‘Anak Kunci’ di tangan Baginda Rasulullah
Ba’a dek awak ka maambiknyo

Suatu pantun yang mengandung erti yang dalam, yang tak dapat diketahui orang yang mula pertamanya membawakan pantun tersebut atau penciptanya. Maka adalah sewajarnya bagi tiap-tiap diri memikirkan bagaimana akan mendapat ‘Anak Kunci’ yang dimaksud.

<< Sebelumnya - Bab Dua Belas
Seterusnya - Bab Empat Belas >>

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Makna Cahaya Dan Maksud Ingat Diri