Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 14

Saya akan bertanya dan berkata pada diri sendiri, “Kenapa sewaktu berada di bumi yang sempit (dalam perut ibu) kita tak berasa kekurangan, setelahnya berada di bumi yang luas, seseorang harus menderita, padahal lapangan bergeraknya sangat luas? Di mana letak sebenarnya akan rahsia hidup dan kehidupan ini?"
Saya akan mengatakan, “Bagi setiap diri yang tadinya dikandung oleh yang mengandung dengan segala macam penanggungan, setelah keluar dari kandungan, maka baginya kebalikannya yang terjadi, ertinya sejak itu dia pula yang mengandung. Dan tiap-tiap kandungan harus dilahirkan, kalau tidak, tidak akan pecah rahsia kandungan selama ini. Dan begitulah, seseorang ibu yang telah melahirkan akan pecahlah rahsia kandungannya dan diketahuilah apa yang dikandungnya selama ini.

Kandung, mengandung dan menanggung. Sama-sama mengandung akan tetapi berlainan kandungan dan penanggungan. Saya akan mengatakan, sewaktu dalam kandungan, tempatku di rahim ibu, akan tetapi yang kukandung letaknya di dada. Dan untuk dapat mengetahui isi dada itu, seseorang harus melahirkan, kalau tidak, tidak akan pecah rahsia kandungan sendiri itu. Dari itu maka dianjurkan; pecahkanlah rahsia kandungan itu dengan melahirkannya sehingga dapat mengenal dan mengetahui akan rahsianya dan sampai dapat merasakan dan membenarkan akan kebenaran pendapatku di atas, iaitu engkau terlahir untuk kedua kalinya dan engkau telah bebas tetapi tak lepas. Maksudku engkau akan merasakan itu kebebasan, tetapi tak lepas dari kemanusiaanmu.

Bagiku dan bagi seseorang yang telah dapat memahami dan mengerti akan kelahirannya untuk kedua kali itu, akan dapat pula mengerti bahawa dirinya membawakan pula dua kehidupan iaitu hidup kebatinan dan hidup kenyataan atau kebendaan. Kalau seseorang telah dapat merasakan seperti apa yang telah kurasakan dan telah dapat pula mengetahui mana yang lahir dan mana yang batin, akan membenarkan pendapatku bahawa jarak antara yang satu dengan yang lain ialah jauh tak berantara dan dekat tak berbatas: Satu tidak, walaupun dari luar kelihatannya satu. Kehidupan yang mana yang saharusnya menjadi pegangan? Hidup kebendaan dengan tidak mengetahui hakikat kebatinan telah dibawakan selama ini dan tiap-tiap diri telah membawakan dan mengalaminya.

Pada umumnya, kebanyakan manusia tidak pernah berasa puas pada hasil dari pembawaan hidupnya dan banyak pula yang gagal dan kecewa. Kita telah melihat dan menyaksikan sendiri, berapa banyaknya manusia sudah mempunyai harta yang banyak, kedudukan yang terpandang, punya isteri dua tiga bahkan ada juga yang punya simpanan (istilah sekarang), tetapi hidupnya selalu resah-gelisah. Ketenangan tidak pernah diperdapatnya, untuk makan enak dicari keluar dan akan segala sesuatu mahu lagi, mahu lagi dan mahu lagi dan ada juga sampai tak percaya akan diri sendiri (buktinya dia memakai orang sewaan untuk mengawalnya, hartanya dan lain-lain sebagainya) dan tak kurang pula pergi ke dukun minta tangkal dan azimat dan ke kiai minta keselamatan, naik pangkat dan lain-lain sebagainya. Dan tak kurang pula yang bertuhankan pada batu dan keris. Aku teringat akan kata-kata yang aku dapat tangkap dan dengar sewaktu di perantauan di seberang lautan sana, suatu keluhan yang terlompat keluar dari mulut seorang petualang sambil mengembara pula iaitu antara lain, “Bertanya kerbau kepada pedati, jauhkah lagi perhentian ?”

Kami tadinya seiring berjalan. Siapa dia sebenarnya aku tak tahu. Perkenalan kami kalau boleh dikatakan suatu kebetulan saja
Di suatu tempat, kota kata orang Indonesia, bandar kata orang Malaysia, aku dalam pengembaraanku dan dia dalam petualangannya bertemu dalam sebuah rumah yang baginya, penghuni dalam rumah tersebut famili dan bagiku anak dalam aliran ilmu pengetahuanku. Pada percakapan kami bertiga, aku mendapat tahu bahawa dia kehilangan sesuatu. Aku berikan padanya sesuatu pula untuk dapat digunakannya mencari yang hilang itu. Yang aku berikan bukan benda, melainkan sesuatu yang tak dapat dilihat, akan tetapi dapat dirasakannya. Rupanya dia sangat tertarik akan apa yang telah diterimanya dari aku itu sehingga ke mana dia pergi tak ditinggalkannya. Dipelajarinya sendiri dan dicarinya sendiri pengalaman dengan itu. Dia sangat tertarik pada apa yang diterimanya dari aku itu dan perhatiannya tertuju kepada badan diriku. Sejak dia mendapat sesuatu dari aku itu, kami terus berpisah dan aku kembali ke tempat aku bermukim. Belakangan dapat kuketahui bahawa tempat bermukimnya sama kotanya dengan tempat aku bermukim. Cuma kelainannya dia seorang petualang, sedangkan aku seorang musafir yang senantiasa dalam pengembaraan.

Pada suatu hari dia mendatangi rumahku hendak menemui aku. Waktu itu aku tidak berada di rumah. Berkali-kali dia datang, tetapi tak bertemu dengan aku. Pada kenyataannya yang penghabisan, dia berpesan sama isteriku supaya menyampaikan salamnya. Dia sangat ingin hendak bertemu muka dengan aku tetapi pada tiap-tiap kedatangannya aku selalu tak ada di rumah. Dipesankannya bahawa dia akan mengadakan perjalanan jauh ke seberang lautan (ke negara tetangga) dan mohon doa restu. Dan begitu pada suatu ketika yang tak kuduga-duga sebelumnya, aku terima surat darinya dan berlampirkan surat undangan dari seseorang yang belum kukenal untuk minta datang ke sana. Setelah kubaca isi surat itu kuketahui menurut pengakuannya; setelah dia kandas dalam kebiasaan yang dibawakannya pada petualangannya yang sudah-sudah, maka diamalkannya apa yang telah diterimanya dari aku dan hasilnya sangat mengkagumkan sehingga banyak petualang lain tertarik padanya, sehingga akhirnya mereka itu ingin hendak bertemu muka secara langsung dengan aku. Dan itulah rupanya maka sampai dikirim surat undangan tersebut yang belakangan dapat kuketahui, iaitu kegunaannya untuk urusan mendapat pasport ke luar negeri.

Dengan ringkas, setelahnya dia kembali dari petualangannya dan setelah berunding, maka aku yang tadinya menolak untuk pergi, belakangan seolah￾olah aku mendapat dorongan untuk supaya pergi. Pada kelanjutan pertemuan kami, maka kukatakanlah kesediaan aku berangkat dan kami uruslah segala keperluan untuk kelancaran keberangkatan kami itu. Kami seiring berjalan; dia dan aku. Bagaimana dia sebenarnya aku belum mengenalnya dan kenalnya padaku dengan perantaraan apa yang telah kuberikan padanya, yang telah menjadi ilmu pengetahuan padanya. Pengalaman dalam beberapa kali berjalan bersama-samanya menunjukkan padaku bahawa dia adalah seorang petualang dan aku mengatakan aku seorang pengembara. Dan sewaktu berjalan bersama aku, maka jadilah dia seorang petualang merangkap seorang pengembara. Sampai sekarang belum dapat aku mengatakan dia muridku dan aku ini gurunya, atau dia pengikutku kerana lain caranya dan lain pula caraku, lain pembawaannya dan lain pula pembawaanku. Dan besar pula kemungkinan aku tak dianggapnya guru. Sungguhpun begitu bila dia menjumpai aku, dia tetap menghormati aku dan aku senantiasa menerima kedatangannya sebagai mestinya. Dia memanggil kakak (abang) padaku dan aku menganggap dia adik. Dan begitulah jauh dari kampung halaman, di perantauan, aku dapat dengar itu kata-kata, keluhan hidup yang sangat meresap padaku seperti yang telah kusebutkan di atas dan kuulang menyebutnya, “Bertanya kerbau pada pedati, ‘jauhkah lagi perhentian?’”

Seekor kerbau yang sedang menarik sebuah pedati yang sarat (penuh) muatannya, pada suatu tanjakan (atau pendakian) dengan air ludah berbuih-buih di mulutnya, melihat ke kiri dan ke kanan seolah-olah bertanya kepada yang ditariknya, “Jauhkah lagi perhentian?” Dia ingin istirahat kerana keletihan berhari-hari berjalan dengan membawa beban. Akan tetapi dia bertanya tidak pada tempatnya. Kenapa dia bertanya kepada pedati? Itu benda mati. Bukankah lantaran dia makanya pedati sampai ke sana? Seharusnya dia bertanya kepada orangnya (si tukang pedati) yang duduk seenaknya di tempatnya di belakang kerbau sambil mengendalikan perjalanan kerbau itu. Dan si kerbau tak tahu itu kerana tak melihatnya. Begitulah secara kasarnya perumpamaan hidup dan kehidupan yang sedang berjalan. Tiga sejalan; kerbau - pedati - dan - si tukang pedati. Dan pada perhentian terakhir, kerbau balik ke kandang, pedati tergeletak (terbengkalai) di tempatnya dan si tukang pedati pulang ke rumahnya. Suatu keluhan yang datang dari seorang pengembara atau petualang yang tak tahu tempat bertanya yang sebenarnya. Dalam perumpamaan yang tiga disebutkan itu, yang mana harus menjadi pegangan seseorang? Pedatikah dia, apa kerbaukah atau tukang pedati? Diri sendirilah yang akan menentukannya, bukan orang lain.

Bagiku sendiri perumpamaan itu terlalu kasar. Dan aku akan mengatakan, aku bukan pedati, bukan kerbau dan bukan pula si tukang pedati. Kalau begitu siapa aku? Aku akan mengatakan aku tetap aku dan padaku ada hamba dan saya. Jadi aku keseluruhannya terdiri dari:
1. Aku;
2. Hamba; dan
3. Saya.
Aku, hamba dan saya, kalau dihalusi lagi dengan mengkaji asal-usul cara pemulangan atau pengembalian ke pokok asal, maka akan sampailah seseorang pada pengkajian pengetahuan iaitu:
• Saya yang berjasad (Adam);
• Hamba yang menjalankan tugas (wakil; perantara); dan
• Aku datang daripada Tuhan.

<< Sebelumnya - Bab Tiga Belas
Seterusnya - Bab Lima Belas >>

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Allah Sebagai Rakan Kongsi Perniagaan