Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 17

Dengan pernyataan pendirianku ini, maka adalah aku orang kebatinan yang kenyataannya ada pada badan diriku sendiri (jasad) dan bukan orang halus yang tak dapat menyatakan dirinya kerana tak berjasad. Padaku ada yang ghaib yang senantiasa bergerak dengan tenaga ghaib dan rahsia keghaibanku letaknya di balik kenyataanku. Padaku ada orang ghaib yang berada di balik kenyataanku. Rahsia keghaiban yang kuperolehi dari diriku sendiri iaitu Rahsia Yang Maha Ghaib yang berada di dalam diriku sendiri. Dialah yang mengembara kian ke mari, melakukan sesuatu untuk sesuatu.

Kadang-kadang dia jalan sendiri, kadang-kadang berserta kenyataanku. Maka tak salahlah rasanya kalau Aku mengatakan, Aku ada di luar dan ada di dalam. Kehidupanku berjalan dalam dua keadaan (luar dan dalam) iaitu kehidupan lahir dan kehidupan batin. Selama ini, aku menjalankan kehidupanku di luar tanpa mengetahui jalannya kehidupanku di dalam. Dan sejak aku telah dapat mengenal batinku dan telah menemui jalannya pula, maka titik tolak jalan kehidupanku berjalan sejak dari dalam dan terus keluar (oleh kerana dinding yang membatasi gerak-geriku ke luar telah tembus). Dari itu makanya Aku mengatakan Aku telah bebas tetapi tak lepas. Pintu telah terbuka, rahsia diriku telah pecah dan terbukalah jalan bagiku untuk mempelajari akan keadaan yang sebenarnya. Dan semenjak itu untuk keluar, Aku berjalan pada jalan-Nya, Aku ikut berserta-Nya dan kadang-kadang berdiri di muka pintu seolah-olah menantikan akan kedatangan sesuatu.

Dan begitulah Aku sehari-hari dengan rahsia-Nya yang telah ada di tanganku, menjalankan hidup dan kehidupan, kehidupan lahir dan kehidupan batin. Allah jua yang Maha Mengetahui. Apa aku orang luar atau orang dalam? Itu adalah rahsiaku sendiri. Yang terang ialah Aku tetap Aku, sejak dulu sampai sekarang. Rahsia hidupku sendiri telah kuketahui dan terhadap orang di luar dari badan diriku sendiri, Aku akan bawakan rahsia hidup yang telah kuketahui itu sehingga hidup keluar terahsia pula bagi orang banyak. Dan mereka tak akan dapat mengetahuinya sebelum dia dapat pula memecahkan akan rahsia dari dirinya sendiri dan menemui sesuatu untuk menjadi pegangannya.

Dan begitulah Aku dengan rahsia yang terkandung dalam diriku sendiri sehingga pendirianku ialah, “Dasarku adalah dasar orang yang timbul dari kaca dan Aku adalah orang yang timbul dari kaca dan bukan yang mengadap ke kaca. Demikianlah keadaanku di dalam. Dan kenyataanku letaknya pada orang luar.” Sejak aku ketahui pintu untuk keluar telah terbuka bagiku, semua hubunganku yang selama ini terputus dengan isi alam di luar dari alamku, semenjak itu pula segala sesuatunya telah dapat Aku menghubunginya bila dikehendaki. Oleh kerana dengan telah tembusnya dinding penghalang itu, maka segala sesuatunya bagiku ‘jauh tak berantara dan dekat tak berbatas,’ terutama hubunganku dengan Tuhan-ku yang semenjak aku terlahir ke dunia ini telah putus. Semenjak pintu telah terbuka, alamku telah dapat menghubungi alam akbar. Diriku telah dapat menghubungi Diri Yang Maha Besar dan Aku telah dapat menemui AKU iaitu Yang Maha Esa, kerana Aku sebenarnya adalah sesuatu dari Satu.

Benar juga seperti apa yang dikatakan orang-orang yang telah sampai dan yang telah berpengalaman mempelajari dan
merenungkan akan keadaan Tuhan, “Itu adalah suatu pekerjaan yang sia-sia, kerana Tuhan tak dapat diumpamakan dengan apa dan siapa sekalipun. Kalau hendak mengetahui dan mempelajari juga, pelajarilah ciptaan-Nya sebab di situlah letaknya ilmu-Nya, tanda-tanda keadaan-Nya.” Ciptaan-Nya yang paling dekat pada kita ialah diri sendiri. Dari itu pelajarilah dirimu sendiri kerana bukankah orang arif mengatakan, “Mengenal diri, mengenal Tuhan.” “Aku sangat dekat padamu,” kata-Nya,
“Lebih dekat daripada urat nadimu sendiri.”

<< Sebelumnya - Bab Enam Belas
Seterusnya - Bab Lapan Belas >>

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Allah Sebagai Rakan Kongsi Perniagaan