Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 18

Setelah Aku dapat mengenal-Nya, maka kuketahuilah sudah segala yang ada ini dan apa yang ada padaku ialah kepunyaan-Nya. Dan penyerahan yang sepenuh-penuhnya (keseluruhannya) apa yang ada padaku pada-Nya sehingga betul-betul Aku ini menjadi kepunyaan-Nya. Tiada daya dan upaya. Siapalah yang kuat dan kuasa, melainkan Allahhu-ta’ala. Gerakku adalah Gerak-Nya, kudrat-ku adalah Kudrat-Nya dan rahsiaku ialah Rahsia-Nya dan begitulah aku sejak dapat mengenal dan menemui akan diriku sendiri.

• Syariatku ialah keadaan dan kenyataanku,
• Tarekatku ialah jalan diri sendiri,
• Hakikatku yang benar (Kebenaran) ialah Muhammad dan
• Makrifatku, Makrifatullah, iaitu Allah Ilmuku ialah Ilmu Tuhan berdasarkan kalimah tauhid iaitu Dua Kalimah Syahadah. Perjalananku ialah dengan mengamalkan Dua Kalimah Syahadah bertujuan mengadakan pengakuan untuk mendapat pengakuan; pengakuan akan tiada Tuhan yang lain melainkan Allah; pengakuan akan Muhammad Rasulullah. Pengakuan dari Tuhan yang kuharapkan, iaitu pengakuan sebagai hamba-Nya dan pengakuan dari Muhammad s.a.w. iaitu pengakuan sebagai umatnya. Semua orang, kalau mahu boleh saja mengatakan akan dirinya, bahawa dia adalah seorang hamba Allah dan umat Muhammad sebagai seorang Islam. Seorang hamba yang benar, padanya ada jalan yang akan dijalaninya untuk melaksanakan tugasnya.

Tugasnya terahsia bagi orang banyak kerana itu jalannya terahsia pula. Hanya dia sendiri yang tahu itu jalan; jalan yang telah ada padanya ibarat keretapi dia telah berdiri di atas rel (di jalan yang telah tersedia baginya). Penyelewengan baginya bererti tergelincir dari rel sendiri atau keluar dari jalan yang telah disediakan baginya. Seorang umat Muhammad harus mengetahui hukum, terutama hukum syariat. Padanya ada akal untuk mengetahui buruk-baiknya, boleh-tidaknya dia melakukan sesuatu, halal-haramnya sesuatu. Pelanggaran bererti hukum menantinya atau telah tersedia baginya undang-undang bikinan manusia dan undang-undang Tuhan. Allah jua yang menentukan segala-galanya kerana Dia Maha Mengetahui lagi Maha Perkasa.

Bagi seseorang yang ingin mengetahui, melalui ini dapatlah aku mengatakan dengan membaca karyaku ini dapatlah kiranya diketahui bagaimana fahaman dan pendirianku tentang kebatinan dan batinku sendiri, pemecahanku untuk dapat mengenal dan menemui-Nya sehingga menghasilkan suatu pemisahan yang dapat dirasakan antara yang satu dan yang lain, antara rohani dan jasmani, antara yang hidup dan yang mati, antara yang terang dan yang gelap, sehingga telah kuketahui pula itu rahsia, “Dimasukkannya malam kepada siang dan siang kepada malam dan didatangkannya yang hidup daripada yang mati dan yang mati daripada yang hidup.” Yang hidup itulah peganganku, bukan yang mati. Dan ilmu yang kufahami bukannya datangnya dari luar, melainkan dari dalam.

Aku
(BAGINDO MUCHTAR)
Selesai di Jakarta, Indonesia
28 Disember, 1973.

<< Sebelumnya - Bab Tujuh Belas

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Allah Sebagai Rakan Kongsi Perniagaan