Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 6

Suatu peristiwa yang kualami, yang sebab kerananya pula tak makan di akal mungkin terjadi. Akan tetapi kenyataannya terjadi. Suatu sebab yang membawa akibat, penyebaban yang direncanakan untuk tujuan tertentu dan hasilnya kerugian pada kedua belah pihak, sedangkan pihak ketiga yang menjalankan peranan tidak terbuka rahsianya, walaupun dicuba membukakannya akan tetapi tak dapat diterima oleh golongan yang banyak. Pihak pertama ialah aku, sedangkan pihak kedua dan ketiga adalah sebenarnya satu. Dan dalam hal ini, pihak ketigalah yang pegang peranan; seorang yang sangat pandai berpura-pura, ‘pepat di luar rencung di dalam.’

Akibatnya dia kehilangan, aku menderita lahir batin dan pihak ketiga kesampaian maksudnya. Recana pada manusia, keputusan pada Tuhan. Dan aku dikalahkan dengan bilangan mereka yang banyak jumlahnya. Memang begitulah adat dunia. Yang benar hanya satu, dan yang tidak benar banyak bilangannya. Segala keterangan-keterangan yang kuberikan, mereka tak mahu menerimanya kerana secara kenyataan aku tak dapat membuktikannya dan segala kualami adalah kenyataannya negatif yang bagi orang positif; tidak mudah begitu saja menerimanya atau mempercayainya, apalagi kalau keterangan-keterangan itu tak masuk di akal. Hidupku waktu itu seolah-olah terpencil atau dipencilkan kerana alam sekelilingku, terutama masyarakatnya telah lebih dahulu dikuasai dan dipengaruhinya. Aku kehilangan sebahagian besar dari bahagiaku pada peristiwa itu iaitu dengan terkorbannya isteriku, ibu dari anak-anakku, yang banyak tahu dan mengerti padaku. Hatiku telah tercurah dan tertumpah padanya dan sampai saat terakhirnya, aku telah bergaul dengannya sebagai suami-isteri lebih kurang 17 tahun lamanya dengan suka dan duka kami lalui bersama-sama.

Kejadian ini di perantauan, bukan di kampung halaman di mana kami dilahirkan, melainkan di lain pulau, yang berlainan pula bahasa dan adat istiadatnya, akan tetapi termasuk salah satu di antara kepulauan Indonesia juga. Tidak seorang pun yang berpihak padaku waktu itu, bahkan adik kandung sendiripun tidak. Aku dihukum tanpa diadili, tak bersalah dinyatakan bersalah, kemerdekaanku dirampas dan harta bendaku yang tak seberapa dikuasai pula. Tubuhku waktu itu sangat letih dan lemah kerana pada pengalaman peristiwa yang berlaku terhadap badan diri kami, aku dan isteriku dan belakangan aku sendiri, aku berjaga-jaga siang dan malam, menangkis segala macam serangan yang mendatang. Di kala itu, aku berasa seolah-olah ada yang mendampingiku iaitu yang ghaib, yang melindungiku yang menyebabkan aku bisa bertahan dari tercapainya tujuan mereka itu yang tidak baik terhadap badan diriku. Dan di kala itu rasanya hubunganku dengan Tuhan sangat dekat, kerana di saat itu aku selalu ingat kepada-Nya. Dan akibat dari meninggalnya isteriku itu, maka satu perkara besar terbentang di hadapanku antara aku dengan keluarga dari isteriku, antara aku dengan dukun serta keluarganya dan anak-anak muridnya yang katanya mengubat akan tetapi kenyataannya padaku tambah memperdalamkan penyakitnya, dan antara aku dengan adik kandung sendiri yang terpengaruh oleh sang dukun dan pihak keluarga dari isteriku. Betul-betul waktu itu aku berasa seolah-olah sendiri hidup di dunia ini.

Aku menginginkan keadilan dan keadilan itu mungkin tak kuperdapat dari masyarakat, pun juga aku tak akan mengadukan halku ini kepada pemerintah (yang berwajib) kerana tak ada bukti yang nyata. Aku ingin hendak mencari Tuhan. Aku hendak menemui-Nya dengan tujuan akan mohon keadilan. Aku minta diadili dalam perkara besar yang kuhadapi pada masa itu. Hanya itulah tujuanku waktu itu; mencari-Nya, minta diadili, mohon keadilan, lain tidak. Dalam pada itu, dengan beransur dan teratur tenagaku mulai pulih kembali dan sewaktu aku membuka almari pakaianku, kenyataan surat-surat penting seperti surat rumah, barang-barang perhiasan dan pakaian lain-lain yang berharga sudah pindah tempat. Aku mulai bertindak, dengan perantaraan seseorang aku minta disampaikan supaya semua harta-bendaku yang diambil dari dalam almari pakaianku supaya dikembalikan dalam waktu yang sesingkat-singkatnya, kalau tidak aku membawa persoalan ini kepada polis. Dan begitulah suasana tegang tadinya, sesudahnya pihak yang memindahkan barang-barang tersebut mendapat dari orang-orang tertentu, yang bahawa dalam hal ini saya benar, maka kuterimalah kembali barang-barang tersebut, walaupun tidak cukup akan tetapi sebahagian besar ada, maka dengan maksud tidak memanjangkan perkara ini, maka kuterimalah apa yang ada.

Jiwaku masih tetap resah gelisah untuk ingin mendapat kepastian dari seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang mencari kebenaran, mengenai peristiwa yang kualami; iaitu siapa yang benar dan siapa pula yang bersalah. Oleh seseorang tetangga dekatku, aku dianjurkan menemui seseorang ulamak besar di suatu tempat di Jawa Barat, yang semasa hidupnya sangat banyak di datangi orang dan pembesar-pembesar, pun tak ketinggalan ulamak-ulamak lain dan konon khabarnya satu-satu ahli falak yang terpandai dan ternama di Indonesia. Dan begitulah dengan perantaraan orang sekampungku yang pernah mendatangi ulamak tersebut, aku temui orang tua itu untuk menanyakan peristiwa yang telah kualami, hendak mengetahui bagaimana pendapatnya atau penglihatannya dan siapa yang bersalah dalam hal ini. Secara ringkas kutuliskan di sini, di hadapan orang sekampungku itu aku mendapat jawapan bahawa dalam perkara itu, aku benar dan yang membuat dan mengerjakannya ialah katanya, “Ahlinya sendiri.” Dan ada pula hal yang lain yang kutanyakan, yang kuanggap tak perlu diturunkan di sini kerana kebanyakan soalnya, mengenai diriku sendiri. Semenjak itu mulailah ada ketenangan bagi diriku sendiri dan rasa ingin hendak membuktikan akan kebenaranku tetap berkesan bagiku. Aku dengan anak-anakku kembali pulang ke kampung halamanku, ke tempat di mana darah tertumpah, di mana aku dilahirkan dan dibesarkan, yang memberi pengertian bagiku seolah-olah setelah berlarutan merantau, aku harus kembali ke pangkalan iaitu ke titik tolakku semula.

Walaupun hati masih luka dan duka, namun aku tetap berfikir hendak memulai merantau lagi. Kesan perantauanku yang sudah lalu ialah suatu kesimpulan bahawa ‘rencana pada kita manusia, keputusan tetap pada Tuhan.’ Rencanaku yang mencari jalan berhenti dari memburuh pada sebuah perusahaan besar bangsa asing, dan rencana tertentu dari seseorang terhadap badan diriku dengan tujuan dapat menguasai apa yang ada padaku, dengan perkiraannya sendiri aku banyak punya simpanan berupa emas dan lain sebagainya, sedangkan tujuanku minta berhenti bekerja ialah untuk merubah lapangan kehidupanku, dari memburuh kepada berdagang, demi memikirkan masa depanku untuk kehidupan rumahtanggaku di belakang hari dan rencana orang tertentu terhadap isteriku, ibu dari anak-anakku yang tidak menghendaki dia berdekatan dengan bapa kandungnya sendiri dan lain sebagainya. Rupanya kesemuanya apa yang telah terjadi, apa yang telah kualami terjadinya di luar kemahuan dan kemampuanku, iaitu rencana Tuhan Yang Maha Ghaib, yang berbuat dengan yang ghaib-ghaib, yang berisikan Kudrat-Nya yang kunaumakan Kudratullah. Perubahan memang terjadi terhadap badan diriku, akan tetapi bukanlah menurut yang kuingini dan menurut yang kurencanakan semula, melainkan perubahan menurut kehendak dan kemahuan Tuhan Yang Maha Kuasa. Rupanya Tuhan telah merubah suratan hidupku, aku harus bergerak di bidang lain.

Kehidupanku harus kulakukan bukanlah lagi sebagai seorang buruh dan tidak pula sebagai seorang saudagar seperti yang aku rencanakan. Aku harus merantau kembali dengan sekali lagi bertitik-tolak dari kampung di mana darahku tertumpah, dari tempat di mana aku dilahirkan dengan modal apa yang ada padaku. Kalau dulu pada perantauanku yang pertama aku tinggalkan kampung halaman dengan tujuan supaya mendapat kehidupan yang layak untuk menjadi orang dengan bermodalkan diploma yang kuperolehi dari sekolah, maka pada perantauan yang kedua ini dengan bermodalkan pengalaman-pengalaman dan bertitik tolak dengan Dua kalimah Syahadah. Pada kenyataannya, aku mengembara sambil berbuat dan berlaku, mencari pengalaman dengan sesuatu yang ada padaku, yang aku sendiripun belum banyak mengerti padanya. Setahuku, padaku ada sesuatu yang melindungi dan mendampingiku iaitu yang ghaib dengan kandungannya tenaga ghaib. Aku bergerak di bidang metafizika, dengan menggunakan metaenergy atau tenaga ghaib yang digunakan untuk menolong sesama manusia, mempelajari akan keadaannya yang sebenarnya, daya gunanya dan terutama untuk dapat mengenalinya dalam erti yang sebenar-benarnya, dengan tidak melupakan akan tujuan semula iaitu:

Pertama : Hendak menemui Tuhan untuk minta keadilan.
Kedua : Dengan perbuatan ingin membuktikan akan kebenaranku pada peristiwa yang kualami.
Ketiga : Menyelidiki dan memahami akan apa sebenarnya 

Aku teruskan perjalanan pengembaraanku dengan mengambil pelajaran pada pengalaman-pengalaman yang sudah-sudah. Dan begitulah makanya aku dapat mengatakan; Aku berteori dalam berpraktik, menerima dalam memberi, belajar dalam mengajar, jadi murid dalam jadi guru, berjalan dalam duduk, menampung
kedatangan yang lahir dan yang batin, menyelesaikan yang kusut dan menjernihkan yang keruh, mendudukkan sesuatu pada
tempatnya, suka membaca buku-buku mengenai kebatinan, tarekat, tasawuf, sejarah orang-orang besar terutama ahli tasawuf dan amat tertarik akan riwayat nabi-nabi dengan mukjizat-mukjizat dan tak kurang pula pada praktiknya dengan nama istilahku sendiri, aku menjadi orang dalam dan kadang-kadang menjadi orang luar. Dan yang mana aku yang sebenarnya? Dan siapa aku?

Dalam perjalanan pengembaraanku, sambil beramal caraku sendiri, kadang-kadang aku lupa dan lalai akan tujuanku semula. Caraku sendiri kukatakan kerana amalanku bukanlah memperbanyak sembahyang malam, banyak zikir, melainkan selalu mengamalkan tenaga yang ada padaku untuk keperluan sesuatu dengan tidak mengenal waktu siang atau malam, pagi atau petang. Dan pintu rumahku terbuka bagi siapa saja yang hendak mendatangi dan menemui aku. Aku lupa akan tujuan semula dan lalai terhadap-Nya, disebabkan pengalaman-pengalamanku dalam beramal kerana banyak yang tersua (bertemu padaku akan keanehan-keanehan dalam amalanku dengan sesuatu melakukan sesuatu dan tak kurang pula banyaknya pelajaran yang aku perdapat sebagai buah dari pengalaman-pengalamanku itu.) Dan tak luput pula aku terpedaya, tergoda oleh fakta-fakta yang kuhadapi sebagai seorang manusia biasa. Aku lupa akan keadaan yang sebenarnya. Beruntung Dia masih melindungiku dan dengan selamat aku dapat kembali ke jalan semula dan aku mengembara dan mengembara terus, berjalan dan berjalan terus yang kadang-kadang berjalan lahir dan batin, dan tak kurang pula aku duduk di tempat kedudukanku, tetapi berjalan. Setelah aku renungi dan fikirkan lebih mendalam akan perjalanan yang telah dan sedang kulakukan, maka dapatlah aku mengatakan bahawa adalah tujuan perjalananku yang tiga pasal tersebut di atas, kenyataannya aku sejalankan iaitu mencari Tuhan untuk minta keadilan, terhadap masyarakat untuk membuktikan akan kebenaranku melalui amalanku dan terhadap badan diriku mahu mengenal yang mana dan siapa aku sebenarnya.

<< Sebelumnya - Bab Lima

Seterusnya - Bab Tujuh >>

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Allah Sebagai Rakan Kongsi Perniagaan