Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 9

Kalau engkau hendak mengenal Aku dan ingin pula hendak menemui Aku di tempatku, hendaklah engkau mencari jalan untuk dapat menemui Aku. Ketahuilah olehmu bahawa [ketika] engkau berjalan, Aku pun berjalan dan dalam perjalanan engkau melihat Aku. Engkau berjalan caramu dan Aku berjalan caraku pula atau Aku mengatakan Aku berjalan pada jalanku dan engkau berjalan pada jalanmu pula (cara orang kebanyakan berjalan).

Bila engkau berhenti berjalan, engkau tak akan melihat Aku kerana keadaanku bukanlah seperti keadaanmu. Aku adalah laksana seorang musafir yang senantiasa berjalan dengan tidak henti-hentinya, yang bagiku namanya menjalankan tugas terhadap sesuatu. Aku berjalan siang malam dengan tidak berhenti sekejap juapun, kerana kalau berhenti berjalan akan membawa akibat bagi alam sekelilingku, dan mungkin juga penyebab kematian bagi seseorang. Keadaanku tidaklah seperti yang engkau khayalkan atau duga. Engkau tak akan dapat menangkap dan memegang Aku kerana Aku bukan seperti engkau. Untuk mengetahui Aku, engkau hendaklah berjalan dari luar ke dalam iaitu ke dirimu sendiri dan tempatku padamu ialah di rasa. Ya. Memang di rasa itulah letaknya rahsiaku. Engkau tenangkan dirimu. Renung dan fikirkan dalam-dalam sampai engkau dapat merasakan dengan pasti (positif) akan rasa yang dimaksudkan sampai terasa betul olehmu (oleh anggota tertentu dari badan dirimu).

Bila ini telah engkau temui dan telah dapat engkau merasakannya secara positif, berpeganglah kepadanya. Pelajarilah dia. Insya-Allah, lambat-laun dengan beransur, engkau akan lebih mengenalinya lagi sampai mendalam. Dan begitulah aku bayangkan (sebagai perumpamaan) perjalanan untuk mencarinya sampai dapat mengenal dan menemuinya hendaklah di tempatnya. Dalam perjalanan seperti aku sebutkan di atas; bila engkau melihatnya, hendaklah engkau ertikan bila engkau telah dapat merasakannya. Di saat itu, berpeganglah kepadanya. Tinggalkanlah jalanmu dan ikutilah perjalanannya dengan berjalan pada jalannya. Pada taraf permulaan, engkau akan merasakan sesuatu iaitu titik-titik atau denyutan yang dapat betul engkau merasakannya melalui hujung jari-jarimu. Apa itukah yang dia? Tidak. Bukan itu yang dia yang sebenarnya. Jikalau engkau mahu menelitinya, adalah di balik dia, ada dia lagi, dan masih ada dia dan dia lagi dan begitu seterusnya. Ketahuilah bahawa yang itu adalah tanda-tanda menunjukkan keadaannya. Bawaannya titik-titik ialah gerak dan kalau engkau mahu menurutkannya, gerak itu akan dapat pula engkau temui, yang bagi badan dirimu sendiri adalah gerak itu bergerak dengan sendirinya (datang dengan sendirinya).

Maka adalah menjadi kewajipanmu menjaga dalam menurutkan gerak yang bergerak dengan sendirinya itu (akan rasa yang terasa itu tak boleh hilang begitu) dan begitu sehingga engkau dapat pula merasakan hendaknya bahawa penyebab dari gerak itu datangnya dari dalam badan dirimu sendiri dan bukan luar dari badan dirimu. Bergerak dengan lupa kepada rasa yang terasa bererti lupa akan diri sendiri, dan kalau tak hati-hati, bisa saja terjadi yang tak diinginkan bagi badan diri sendiri. Berjalan bersertanya bererti mengikut jalannya atau sejalan dengannya, yang mana apa yang dibuat dan yang dilakukannya adalah di luar pengetahuan kita, dan hasilnya ialah di luar dari dugaan kita pula. Kita harus belajar padanya dengan berjalan bersertanya dan dengan menurutkan jalannya. Dan yang amat penting sekali, mengenalnya sedalam-dalamnya dengan rahsia yang terkandung padanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Makna Cahaya Dan Maksud Ingat Diri