Bagindo Muchtar - Batinku - Bab 11

Seperti telah kuhuraikan pada huraian sebelum ini, perjalananku ialah apa yang kunamakan ‘perjalanan balik batang’ atau perjalanan balik ke pangkalan dari titik-tolak semula. Perumpamaannya ialah seakan-akan berada di muara sebuah sungai; sebelumnya mengharungi lautan lepas, aku harus melihat dahulu ke belakang (memudiki sungai tersebut sampai ke hulunya) sampai aku dapat menemui titik permulaan daripadanya yang tiada pangkal dari segala titik-titik yang mendatang kemudian. Suatu perjalanan dari titik menuju kepada titik permulaan di mana tiada titik lagi di baliknya atau sebelumnya.

Kalau jalan yang ditempuh itu benar, maka adalah kenyataannya titik pertemuan antara mencari dengan yang dicari, pada pertemuan kiri dan kanan, di mana di sana tiada gerak lagi untuk terus ke dalam, kecuali kalau hendak keluar kembali menuju kepada alam nyata. Dengan perkataan lain, untuk dapat mengetahui keadaan sebenarnya, rekonstruksi perlu diadakan dan kalau belum pasti, hendaklah dilakukan berulang kali. Begitulah perumpamaan-nya. Pada pertemuanku yang pertama dengannya, yang mana dengan perantaraan rasa yang terasa, kiranya Aku telah berada di muka pintu dan setelahnya Aku dalam perjalanan dari titik ke titik dan sampai pada titik pertemuan yang penghabisan (di mana tiada titik yang lain daripadanya itu lagi) dan setelahnya aku mengadakan perjalanan rekonstruksi dengan berulang-ulang dari luar ke dalam dan dari dalam ke luar, maka dapatlah aku mengatakan bahawa perbuatanku itu sesuai dengan firman Tuhan,
“Memasukkan malam kepada siang dan siang kepada malam, mendatangkan yang hidup daripada yang mati dan yang mati daripada yang hidup.” (al-Quran: Surat Ali-Imran; Ayat 27.)
Pintu telah terbuka bagiku dan ini dapat aku merasakannya. Alamku sendiri telah tembus dan Aku telah bebas, tetapi tak lepas (yang tadinya terkurung dan terkongkong). Tabir atau dinding yang membatasi Aku dengan alam di luar dari alamku sendiri selama ini telah tembus. Hubunganku yang selama ini terputus sejak Aku keluar dari rahim ibuku (sejak Aku dilahirkan dan dihadirkan ke dunia ini sebagai seorang manusia, sejak tali pusatku diputus), dengan telah aku temui itu kembali jalanku sendiri iaitu jalan kebebasanku (dengan telah tembusnya dinding atau tabir yang membatasi Aku dengan alam akbar), Aku telah dapat keluar dengan memancar. Hubunganku dengan Tuhan-ku yang selama ini terputus, dengan kebebasanku, Aku telah dapat langsung menghubungi-Nya kembali dan begitulah dalam perjalananku mencari-Nya dan hendak menemui-Nya seperti yang telah kuhuraikan di atas, aku telah mendapat tali peganganku dan ditambah dengan ‘Anak Kunci’ wasiat (yang kunamakan akan dia) yang telah berada di tanganku. Itulah dia tali peganganku yang tak akan kulepas-lepaskan lagi; tali pusat dari segala pusat yang mana telah kukaitkan dan hubungkan kembali dengan tali pusatku.

Dan yang satu lagi, iaitu ‘Anak Kunci’ wasiat yang banyak mengandungi wasiat dan merupakan bentuk kalau digambarkan dalam huruf Alif-Lam-Miim yang banyak mengandungi rahsia. Aku telah menemui diriku sendiri dan telah dapat pula mengenal akan diriku sendiri, dan telah dapat pula mengetahui yang mana sebenarnya Aku. Aku yang masih terahsia bagi orang banyak, yang belum dapat mengenal akan dirinya sendiri dan yang belum dapat pula mengenal aku dari dekat, apalagi bagi orang yang berpegang dan berpendirian pada barang yang mati.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rahsia Wanita Menurut Kitab Tajul Muluk

Ciri-Ciri Wanita Yang Ada Dara Dan Tiada Dara

Allah Sebagai Rakan Kongsi Perniagaan